ILMU dan Amal

Deklarasi Hak Asasi Manusia yang terawal di Dunia

Bulan Syawal, Zulkaedah dan Zulhijjah adalah termasuk dalam bulan-bulan Haji di dalam Islam.

Di dalam bulan tersebut, telah tercatat sejarah yang paling agung di mana Baginda Nabi Muhammad s.a.w telah menunaikan Haji Wada’ pada tahun ke 10 Hijrah bersama-sama sahabat dan kaum muslimin yang menyertai rombongan Haji Baginda Rasulullah s.a.w.

Semasa peristiwa tersebut, Nabi Muhammad s.a.w telah menyampaikan Khutbah Wada’ yang sangat agung. Isi kandungannya adalah merupakan satu deklarasi yang sangat luar biasa dan ditujukan untuk seluruh umat manusia sampai akhir zaman.

Walaupun pada ketika itu tiada pertubuhan dunia yang menyaksikan deklarasi yang Baginda s.a.w sampaikan, namun jika diteliti isi kandungannya secara mendalam, sudah pasti ianya perlu dijadikan piagam di bangsa-bangsa bersatu.

Ini adalah kerana deklarasi ini sangat tepat dan relevan jika dijadikan panduan untuk semua manusia yang hidup di muka bumi ini tanpa mengira jantina, kaum, agama malah mampu melangkaui sempadan masa. Harus kita ingat bahawa semua pertuturan Baginda adalah datangnya daripada wahyu Allah s.w.t yang maha pencipta.

Maka pada 9 Zulhijjah tahun 10 hijrah di Lembah Uranah yang terletak di Bukit Arafah, Baginda Rasulullah s.a.w telah menyampaikan Khutbah haji yang terakhir atau Haji Wada’ di hadapan lebih kurang 100,000 orang kaum muslimin. Kandungan Khutbah Wida’ ini telah di kumpulkan dari berbagai sumber dan di antara kandungan Khutbah Baginda Rasulullah s.a.w adalah seperti berikut.

*************

Setelah memuji serta bersyukur kehadrat Allah s.w.t, Baginda Rasulullah s.a.w telah bersabda:

Wahai manusia, dengarlah baik-baik apa yang hendak kukatakan, Aku tidak mengetahui apakah aku dapat bertemu lagi dengan kamu semua selepas tahun ini. Oleh itu, dengarlah dengan teliti kata-kataku ini dan sampaikanlah ia kepada orang-orang yang tidak dapat hadir disini pada hari ini.

Wahai manusia, sepertimana kamu menganggap bulan ini dan kota ini sebagai suci, anggaplah jiwa dan harta setiap orang Muslim sebagai amanah suci.

Kembalikan harta yang diamanahkan kepada kamu kepada pemiliknya yang berhak.

Janganlah kamu sakiti sesiapapun agar orang lain tidak menyakiti kamu lagi.

Ingatlah bahawa sesungguhya kamu akan menemui Tuhan kamu dan Dia pasti membuat perhitungan di atas segala amalan kamu.

Allah telah mengharamkan riba’, oleh itu, segala urusan yang melibatkan riba dibatalkan mulai sekarang.

Berwaspadalah terhadap syaitan demi keselamatan agama kamu.

Dia telah berputus asa untuk menyesatkan kamu dalam perkara-perkara besar, maka berjaga-jagalah supaya kamu tidak mengikutinya dalam perkara-perkara kecil.

Wahai manusia sebagaimana kamu mempunyai hak atas isteri kamu, mereka (isteri) juga mempunyai hak ke atas kamu (suami).

Sekiranya mereka menyempurnakan hak mereka ke atas kamu, maka mereka juga berhak diberikan makan dan pakaian, dalam suasana kasih sayang.

Layanilah wanita-wanita kamu dengan baik dan berlemah-lembutlah terhadap mereka kerana sesungguhnya mereka adalah teman dan pembantu kamu yang setia.

Dan hak kamu atas mereka ialah mereka sama sekali tidak boleh memasukkan orang yang kamu tidak sukai ke dalam rumah kamu dan dilarang melakukan zina.

Wahai manusia, dengarlah bersungguh-sungguh kata-kataku ini, sembahlah Allah, dirikanlah solat lima waktu, berpuasalah di bulan Ramadhan, dan tunaikanlah zakat dari harta kekayaan kamu. Kerjakanlah ibadah Haji sekiranya kamu mampu.

Ketahuilah bahawa setiap Muslim adalah saudara kepada Muslim yang lain.

Kamu semua adalah sama; tidak seorang pun yang lebih mulia dari yang lainnya kecuali dalam Taqwa dan beramal saleh.

Ingatlah, bahawa kamu akan menghadap Allah pada suatu hari untuk dipertanggungjawabkan diatas segala apa yang telah kamu kerjakan.

Oleh itu, awasilah agar jangan sekali-kali kamu terkeluar dari landasan kebenaran selepas ketiadaanku.

Wahai manusia, tidak ada lagi Nabi atau Rasul yang akan datang selepasku dan tidak akan lahir agama baru.

Oleh itu wahai manusia, nilailah dengan betul dan fahamilah kata-kataku yang telah aku sampaikan kepada kamu.

Sesungguhnya aku tinggalkan kepada kamu dua perkara, yang sekiranya kamu berpegang teguh dan mengikuti kedua-duanya, nescaya kamu tidak akan tersesat selama-lamanya.

Itulah Al-Qur’an dan Sunnahku.

Hendaklah orang-orang yang mendengar ucapanku, menyampaikan pula kepada orang lain.

Semoga yang terakhir lebih memahami kata-kataku dari mereka yang terus mendengar dariku.

Saksikanlah Ya Allah, bahawasanya telah aku sampaikan risalah-Mu kepada hamba-hamba-Mu.”

*************

اللَّهُمَّ صَلِّ عَلَى مُحَمَّدٍ وَعَلَى آلِ مُحَمَّدٍ

Jika tidak sekarang, mungkin ianya bakal dijadikan sebagai Deklarasi Hak Asasi Manusia di masa akan datang. Wallahua’lam.

Panduan semasa berada di bulan-bulan Haji.

Selamat mengerjakan ibadah Haji kepada bakal-bakal Haji dan Hajjah, semoga di permudahkan segala urusan dan di kurniakan Haji yang mabrur. Selamat menyambut Hari raya Qurban kepada semua muslimin dan muslimat.

Sedikit panduan berkenaan amalan-amalan sunat dalam bulan Haji;

Amalan berpuasa sunat hari ‘Arafah yang jatuh pada 9 Dzulhijjah adalah disunatkan bagi muslimin yang tidak mengerjakan ibadah Haji.

Kelebihan berpuasa pada hari ini ialah ia dapat menghapuskan dosa-dosa setahun yang telah lalu dan dosa setahun yang akan datang, sebagaimana hadith yang telah diriwayatkan daripada Abu Qatadah al-Anshari ra:

Dan Rasulullah s.a.w ditanya tentang berpuasa di hari ‘Arafah. Maka Baginda  Rasulullah s.a.w bersabda: “Ia menebus dosa setahun yang telah lalu dan setahun yang akan datang.” (Hadith Riwayat Imam Muslim)

Walaubagaimanapun, bagi mereka-mereka yang sedang mengerjakan haji, adalah di sunatkan untuk tidak berpuasa hari ‘Arafah. Daripada hadith yang diriwayatkan dari Abu Hurairah ra:

Sesungguhnya Rasulullah s.a.w melarang berpuasa pada Hari ‘Arafah bagi mereka yang berada di ‘Arafah. (Hadith Riwayat Abu Dawud dan an-Nasa’ie; at-Thabrani dari Aisyah rha).

Disunatkan juga berpuasa pada hari ke 8 Dzulhijjah di samping berpuasa pada hari ‘Arafah (9 Dzulhijjah) sebagai langkah berhati-hati yang mana kemungkinan pada hari ke 8 Dzulhijjah itu adalah hari yang ke 9 Dzulhijjah (Hari ‘Arafah). Bahkan adalah disunatkan berpuasa lapan hari, iaitu dari hari yang pertama bulan Dzulhijjah hingga ke hari yang kelapan sama ada bagi orang yang mengerjakan haji atau tidak mengerjakan haji, bersama-sama dengan hari ‘Arafah.

Diriwayatkan dari Ibn Abbas ra:

Rasulullah s.a.w bersabda: “Tiada amal yang soleh yang dilakukan pada hari-hari lain yang lebih disukai daripada hari-hari ini (sepuluh hari pertama dalam bln Dzulhijjah).” (Hadith Riwayat al-Bukhari)

Dalam hadith yang lain yang diriwayatkan dari Hunaidah bin Khalid, dari isterinya, dari beberapa isteri Nabi s.a.w:

Sesungguhnya Rasulullah s.a.w melakukan puasa sembilan hari di awal bulan Dzulhijjah, di hari ‘Asyura dan tiga hari di setiap bulan iaitu hari Isnin yang pertama dan dua hari Khamis yang berikutnya. (Hadith Riwayat Imam Ahmad dan an-Nasa’ie)

Adapun berpuasa pada hari Aidiladha (10 Dzulhijjah) dan hari-hari tasyrik (11, 12 dan 13 Dzulhijjah) adalah diharamkan berdasarkan hadith yang diriwayatkan dari Umar ra:

Bahawasanya Rasulullah s.a.w melarang berpuasa pada dua hari, iaitu ‘Eid al-Adha dan ‘Eid al-Fitr. (Hadith Riwayat Imam Muslim, Ahmad, an-Nasa’ie, Abu Dawud)

Serta hadith yang diriwayatkan dari Abu Hurairah ra:

Rasulullah s.a.w telah mengirimkan Abdullah Ibn Huzhaqah untuk mengumumkan di Mina: “Kamu dilarang berpuasa pada hari-hari ini (hari tasyrik). Ia adalah hari untuk makan dan minum serta mengingati Allah.” (Hadith Riwayat Imam Ahmad, sanadnya hasan) [2]

Wallahu a’lam bisshawab.

About Al-Kalam

السلام عليكم ورحمة الله وبركاته

Discussion

No comments yet.

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s

%d bloggers like this: