Amalan, Hadis-Hadis Pilihan

Mesti Baca: Rahsia untuk Kembalikan Zaman Kegemilangan Islam

Bismillah, Alhamdulillah, Assolatu wassalamu ala Rasulillah. Setelah melihat bagaimana umat Islam ditindas, digadai maruah, dihina, dicerca, dilukai, dibunuh dan dilakukan berbagai perkara yang di luar kemampuan kita untuk menentang, kini waktu untuk kita muhasabah diri dan bangkit membina kekuatan dan mencapai kegemilangan.

Sesuatu kegemilangan itu lazimnya hanya boleh dicapai melalui satu proses yang panjang dan berterusan, namun begitu kita tidak dituntut untuk mengetahui bilakah akan tiba masanya. Apa yang mesti kita lakukan ialah bertindaklah hari ini juga dan berdoalah semoga kegemilangan Islam itu dapat dibina dengan cepat dan mudah. Ikutilah garis panduan yang Allah s.w.t. dan Rasulullah s.a.w. telah tujuk ajarkan kepada kita.

Dari Abdullah katanya: “Barang siapa yang ingin menemui Allah di hari kiamat dalam keadaan selamat, maka jagalah baik-baik waktu solat 5 waktu bila telah mendengar azan. Sesungguhnya Allah Azza wajalla telah menetapkan beberapa jalan petunjuk. Menjaga solat 5 waktu tepat pada waktunya adalah termasuk salah satu jalan petunjuk. Sesungguhnya aku yakin bahawa di dalam rumah setiap orang, pasti ada mushalla di rumahnya. Andai kata kalian mengerjakan solat di rumah-rumah kalian dan meninggalkan masjid-masjid kalian, nescaya kalian telah melanggar sunnah Nabi kalian. Bila kalian telah meninggalkan sunnah Nabi kalian, pasti kalian akan sesat. Tidak seorang muslimpun menyempurnakan wuduknya, kemudian dia menuju ke tempat solat/masjid, maka setiap langkah yang dilakukan olehnya akan ditulis oleh Allah sebagai satu kebajikan, diangkat ke satu darjat dan diampunkan baginya satu dosa. Kalian tahu bahawa kami sentiasa menghadiri solat berjamaah di masjid. Tidak seorang pun yang tertinggal dari solat berjamaah, kecuali orang yang telah jelas kemunafikannya. Dan adakalanya aku lihat seorang dituntun oleh 2 orang untuk menghadiri solat berjamaah”. (Hadis Sunan An-Nasai Jilid 1. Hadis Nombor 0827).

Jika kita ingin membuat perbandingan antara suasana masjid dan surau di zaman awal kegemilangan Islam dan suasana masjid dan surau masa kini, sudah pasti kita akan faham di mana sebenarnya kelemahan umat Islam di zaman ini.

Umat-umat Islam masa kini telah disibukkan dengan perkara-perkara yang bukan-bukan sehingga lalai daripada menunaikan solat berjemaah di masjid-masjid dan surau-surau yang menjadi tonggak pembinaan peradaban umat Islam.

Di waktu zaman Rasulullah s.a.w. sehingga zaman kegemilangan Islam di bawah pemerintahan Khulafak Al-Rashidin, solat berjemaah di surau/masjid adalah amalan teras yang sangat diambil berat oleh pemerintah dan seluruh masyarakat Islam. Dengan kelebihan-kelebihan yang boleh diperolehi daripada solat berjemaah, keadaan umat Islam yang sering dilabelkan dengan sifat-sifat negatif (i.e. akhlak buruk, tidak berilmu, hasad dengki, tidak bersatu, malas, lemah, mudah diperdaya, tidak menepati waktu dsb.) dapat segera diperbaiki. Sebaliknya, sifat-sifat yang terpuji akan mula meresap ke dalam jiwa umat-umat Islam, In Shaa Allah.

Sebagai permulaan, apa kata kita mulakan dengan diri kita dan keluarga kita sendiri. Berazamlah dari sekarang untuk menjadikan masjid sebagai tempat yang sering kita kunjungi terutamanya apabila masuknya waktu solat fardhu 5 waktu. Lakukannya secara istiqamah, In Shaa Allah ianya akan menghidupkan ‘trend’ dan orang lain di persekitaran kita akan terpanggil untuk turut serta melakukannya. Jadikan ini sebagai amal jariah untuk bekalan kita di akhirat kelak.

Rancangkan jadual seharian dan perjalanan kita agar apabila hampir masuknya waktu solat 5 waktu, kita akan berada di mana-mana surau atau masjid yang berhampiran untuk mengerjakannya secara berjemaah. Samada kita mahu menunaikan solat di awal waktu secara berjemaah (Opsyen A) atau di waktu yang lain secara bersendirian (Opsyen B), kita tetap juga terpaksa meluangkan masa selama beberapa minit untuk melaksanakan tanggungjawab solat yang diwajibkan keatas kita.

Orang yang bijak dan berjaya seperti ANDA sudah semestinya akan memilih ‘Opsyen A’ kerana ianya memberikan ganjaran yang jauh lebih baik dari ‘Opsyen B’ sedangkan kedua-duanya boleh dilakukan dalam kadar waktu yang hampir sama. Kebarangkalian untuk amalan solat kita ditolak adalah hampir ‘tiada’ sekiranya dilakukan secara berjemaah. Sementara kebarangkalian untuk amalan solat kita ditolak sekiranya dilakukan secara bersendirian ialah ‘sangat tinggi’ bergantung kepada situasi dan ilmu yang kita miliki.

Dari Abu Hurairah: Rasulullah saw pernah bersabda: “Andaikata orang-orang tahu betapa besarnya pahala seorang yang azan dan solat di saf pertama, pasti mereka akan berebut-rebut untuk mendapatkannya, walaupun harus dilakukan undian. Dan andaikata orang-orang tahu betapa besarnya pahala menyegerakan waktu solat, pasti mereka akan berlumba-lumba menyegerakannya. Dan andaikata mereka tahu betapa besarnya menghadiri solat isyak dan subuh berjamaah, pasti mereka akan menghadirinya walaupun harus dengan merangkak”. (Hadis Sunan An-Nasai Jilid 1. Hadis Nombor 0528)

Ketahuilah panggilan azan adalah sebagai salah satu ajakan dan panggilan Allah untuk kita beramai-ramai mengunjungi masjid dan mengerjakan solat berjemaah. Sahutlah panggilan itu yang menyeru kearah kejayaan, “Haiya Alassolah, Haiya Alalfalah”. Kunjungilah masjid atau surau untuk mengerjakan solat berjemaah walaupun terpaksa dipapah atau merangkak sekalipun, carilah rahsia kejayaan di sana. In Shaa Allah kita akan memperolehinya.

p/s: Sila kongsikan artikel ini semoga ianya memberi banyak manfaat dan dicatatkan sebagai salah satu amalan soleh di sisi Allah swt yang boleh menjadi penyelamat kita di akhirat kelak. Amin.

About Al-Kalam

السلام عليكم ورحمة الله وبركاته

Discussion

No comments yet.

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s

%d bloggers like this: