ILMU dan Amal

Belajar Al-Quran Sepanjang Hayat

Pembelajaran Al-Quran adalah suatu bidang ilmu yang sangat luas dan tidak mungkin boleh diselesaikan sehingga ke akhir hayat manusia. Ini adalah kerana Al-Quran adalah merupakan mukjizat terbesar Rasulullah s.a.w yang sentiasa terpelihara. Ilmu dan Rahsia yang terdapat di dalam Al-Quran adalah amat luas dan sehingga kini terdapat banyak lagi rahsia-rahsia yang masih belum diterokai dan tidak dapat difahami sepenuhnya oleh para saintis, ilmuwan dan para pengkaji.

Dari Abu Hurairah, dia berkata: Rasulullah SAW. bersabda: “Belajarlah olehmu sekalian akan Al-Quran, bacalah ia dan tekunilah. Maka sesungguhnya permisalan Al-Quran dan orang yang mempelajarinya, kemudian melaksanakannya adalah seperti bekas yang penuh dengan minyak misik, yang menyebar aromanya di setiap tempat. Dan permisalan orang mempelajari Al-Quran, kemudian menekuni, sedangkan dia berada di rongganya, adalah seperti permisalan bekas yang terbalut oleh misik”. (Hadis Sunan Ibnu Majjah Jilid 1. Hadis Nombor 0217.)

Apabila mengatakan berkenaan Pembelajaran Al-Quran, kita boleh kategorikan pembelajaran ini kepada beberapa peringkat di antaranya:-

  • Mempelajari ilmu mengenal huruf-huruf hijaiyah dan seterusnya membolehkan kita membaca ayat-ayat yang terdapat didalam Al-Quran.
  • Pembelajaran Ilmu Tajwid bagi pembacaan yang lancar dan tartil.
  • Pembacaan Al-Quran secara bertalaqi dan bersanad.
  • Pembelajaran Ilmu Taranum.
  • Mempelajari kaedah hafazan surah-surah Al-Quran.
  • Mempelajari Ilmu Tafsir bagi memahami isi kandungan Al-Quran.
  • Membuat kajian secara terperinci tentang isi kandungan Al-Quran.

Walaupun ilmu Al-Quran ini sangat luas untuk diterokai, kebanyakan masyarakat kita masih lagi berada diperingkat tidak mampu membaca Al-Quran dengan baik. Dengan erti kata lain, masih ramah lagi masyarakat kita yang buta Al-Quran. Menurut kajian statistik yang telah dibuat oleh perbagai pihak, kadar literasi terhadap pembacaan Al-Quran adalah sangat mengecewakan.

Kadar buta huruf Al-Quran di kalangan masyarakat Islam di Malaysia adalah sangat menyedihkan. Kajian mendapati bahawa, majoriti masyarakat Islam dari semua peringkat umur kanak-kanak sehingga dewasa adalah buta Al-Quran. Ini adalah disebabkan beberapa faktor diantaranya kerana kurangnya kesedaran serta penekanan terhadap pembelajaran Al-Quran. Kemudahan-kemudahan pusat pembelajaran Al-Quran juga amat terhad terutamanya untuk golongan dewasa.

Terdapat banyak kaedah yang digunakan untuk mengajar murid-murid di peringkat sekolah untuk mengenal huruf dan seterusnya membolehkan mereka membaca ayat-ayat Al-Quran. Kaedah-kaedah pembelajaran tradisional yang diterapkan diperingkat kanak-kanak dilihat sebagai kurang berjaya kerana sistem pembelajaran yang kurang inovatif dan tidak menarik minat masyarakat ketika proses pembelajaran.

Namun begitu, masyarakat masa kini boleh membuat beberapa pilihan tentang kaedah-kaedah pembelajaran Al-Quran. Teknik-teknik pembelajaran pembacaan Al-Quran yang dihasilkan kini didapati lebih inovatif, mudah, cepat dan boleh menarik minat pelajar untuk mempelajari pembacaan Al-Quran. Antara kaedah-kaedah pembelajaran pembacaan Al-Quran terkini yang boleh digunakan adalah seperti Teknik Al-Baghdadi, Teknik A-Badar, Teknik Al-Jabari, Teknik Cordobana dan sebagainya.

Kita sebagai umat Islam yang taat, mestilah terus berusaha untuk mempelajari Al-Quran tanpa mengira di tahap mana kita berada. Walaupun kita masih berada diperingkat merangkak, usaha mesti diteruskan sehingga kita boleh berjalan dan terus berlari sehingga kita dijemput kembali menemui yang Maha Esa agar kita tidak termasuk dalam golongan yang rugi kerana gagal mengambil manfaat daripada Al-Quran.

About Al-Kalam

السلام عليكم ورحمة الله وبركاته

Discussion

Comments are closed.

%d bloggers like this: