ILMU dan Amal

Angan-Angan Orang Yang Sudah Mati

Beberapa hari yang lepas sewaktu ingin keluar menghantar anak ke sekolah, kami telah dikhabarkan bahawa jiran selang beberapa rumah telah kembali ke Rahmatullah akibat serangan jantung. Sementara seminggu sebelum itu, masyarakat telah digemparkan tentang peristiwa kemalangan helikopter yang meragut nyawa beberapa orang ahli politik termasuk pilot helikopter berkenaan.

Selang beberapa hari kemudian, kita turut bersedih dengan kematian mengejut seorang pendakwah yang masih muda dan begitu juga dengan khabar kematian artis terkenal negara. Sementara sehari yang lepas sebelum saya menulis entri ini, saya telah menerima berita tentang kematian seorang sahabat lama akibat mengidap penyakit jangkitan paru-paru. Senarainya tetap terus berjalan dan tidak mungkin habis.

Kematian sentiasa berlaku di sekeliling kita dan pada hakikatnya, setiap orang akan menempuhi saat kematian dan saat dan ketikanya hanya diketahui oleh Allah s.w.t sahaja. Persoalannya, adakah kita bersedia untuk menempuhi saat tersebut.

Bagi memperingatkan kita tentang masa kedatangan ajal tersebut, Allah s.w.t telah berfirman dalam Surah Al-Munafiqun : Ayat 10:-

“Belanjakanlah (dermakanlah) sebahagian dari rezeki yang Kami berikan kepada kamu sebelum seseorang dari kamu sampai ajal maut kepadanya, (kalau tidak) maka dia (pada saat itu) akan merayu dengan katanya: Wahai Tuhanku! Alangkah baiknya kalau Engkau lambatkan kedatangan ajal matiku ke suatu masa yang sedikit sahaja lagi, supaya aku dapat bersedekah dan dapat pula aku menjadi dari orang-orang yang soleh. (10)” (Surah Al-Munafiqun: Ayat 10)

Peringatan daripada firman Allah s.w.t sudah cukup untuk menyedarkan kita tentang perihal bagaimana kekesalan yang ditanggung oleh roh-roh yang telah menemui ajal mereka kerana gagal memanfaatkan harta yang diperolehinya ketika hidup dahulu.

Allah s.w.t. telah menggambarkan kepada kita bagaimana mereka merayu agar dapat dihidupkan semula semata-mata untuk mereka melakukan sedekah dan melakukan amalan soleh. Begitulah kedudukan amalan sedekah yang kadangkala kita terlepas pandang dan cuba mengelakkan daripada melakukannya secara istiqamah. Oleh kerana terlalu sayangkan harta dan wang ringgit yang dimilikki, kadang kala kita merasakan berat untuk menginfakkan harta tersebut di jalan Allah.

Kadang kala kita mudah terpedaya dengan bisikan syaitan yang sering menakut-nakutkan tentang kemiskinan akibat melakukan sedekah. Sedarlah bahawa harta dan wang ringgit yang ada di tangan pada hakikatnya bukanlah milik kita secara mutlak.

Dari Abu Hurairah r.a. katanya Rasulullah saw. bersabda: “Seorang hamba (manusia) berkata, ‘Hartaku! Hartaku!’ Padahal hartanya yang sesungguhnya hanya tiga macam: (1) Apa yang dimakannya lalu habis. (2) Apa yang dipakainya lalu lusuh. (3) Apa yang disedekahkannya lalu tersimpan (untuk akhirat). Selain dari yang tiga macam itu lenyap atau ditinggalkannya bagi orang lain.” (Hadis Sahih Muslim Jilid 4. Hadis Nombor 2490)

Oleh yang demikian marilah kita sama-sama bertekad untuk menjadi seorang yang lebih pemurah serta melakukan amalan bersedekah secara istiqamah. Semoga hidup kita akan terus diberkati dan apa sahaja amalan yang kita lakukan akan diterima di sisi Allah s.w.t. sebagai amalan soleh dan diredhai.

Discussion

No comments yet.

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s

%d bloggers like this: